PETALING JAYA: Pelaksanaan kempen Hari Tanpa Plastik di seluruh negara bermula Januari tahun depan disifatkan dapat membantu mengurangkan jumlah sisa pepejal yang dijangka mencecah sebanyak 30,000 tan menjelang 2020.
Ketua Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara, Datuk Nadzri Yahaya berkata, rakyat Malaysia menghasilkan lebih 19,000 tan sisa pepejal setiap tahun dan 24 peratus daripada jumlah itu adalah pastik.
“Pelaksanaan kempen itu melibatkan pengurangan iaitu salah satu daripada konsep 3R (kurangkan, guna semula dan kitar semula).
“Secara tidak langsung, ini dapat mengurangkan lebih banyak plastik digunakan sehingga mengakibatkan pembaziran,” katanya ketika dihubungi mStar Online, Ahad.
Beliau mengulas mengenai pengumuman kempen Hari Tanpa Plastik yang dibuat oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Sabtu.
Langkah pelaksanaan kempen itu bertujuan menyelaraskan dan memperluaskan gerakan kempen berkenaan yang kini dilaksanakan di pasar raya besar.
Bagaimanapun Nadzri berkata, sukar untuk mengenal pasti kadar pengurangan penggunaan plastik pada masa ini berikutan kempen itu hanya akan dilaksanakan pada tahun depan.
"Kita akan membuat kajian mengenainya bagi meneliti sejauh mana penggunaan plastik dalam sehari dapat dikurangkan.
“Pada masa sama, usaha 3R dipergiatkan bagi memastikan sistem pengurusan sisa pepejal lebih cekap agar 30,000 tan sisa pepejal menjelang 2020 dapat dikurangkan,” katanya mengenai peranan Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara sebagai agensi di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Pelaksanaan kempen Hari Tanpa Plastik itu bukan satu percubaan tetapi memperlihatkan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dalam usaha memelihara alam sekitar.
Nadzri berkata, selain KPDNKK, terdapat beberapa kementerian lain turut memberikan kerjasama dalam usaha memelihara alam sekitar melibatkan konsep 3R.
“Seperti Kementerian Pelajaran yang memberi kesedaran kepada pelajar agar mengurangkan penggunaan beg plastik dan membuat kitar semula,” katanya.
Beliau menambah, pengurangan atau reduce adalah penting bagi mengatasi kandungan sisa pepejal yang diuruskan sebelum ia terlepas ke tapak pelupusan.
“Plastik adalah bahan yang tidak mudah dilupuskan mengambil masa berpuluh-puluh atau ratusan tahun untuk dilupuskan.
“Oleh itu, lebih baik penggunaannya dioptimumkan daripada membiarkannya terus menjadi sampah. Ini semua melibatkan kerjasama dan kesedaran semua,” katanya.
sumber: mStar Online
---------------------------
Thumbs up!jom kita pakat2 sokong..ubah angka 30k tu jadi lebih tinggi!..
2 comments:
sisa domestik pon byk jugak, patut ada satu tong sampah khas untuk uruskan sisa domestik ni :)
betul..perlu sediakan tempat khas..
dan yg paling sedihnya..ramai lagi dikalangan masyarakat kita ni yg takde kesedaran..main buang je sampah merata2..yg naik kereta pun sewenang2nya je buang smpah ke luar kereta..huhu
Post a Comment